Advertisement

Free Website Hosting
  • Kerajaan Beri Peluang Kepada Kontraktor Tidak Berpengalaman

    10 Disember, 2009 12:17 PM


    KUALA LUMPUR, 10 Dis (Bernama) -- Kerajaan akan meneliti cadangan supaya peluang diberi kepada kontraktor yang berkemampuan tetapi tidak berpengalaman untuk memperolehi tender kerajaan, kata Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Dr Awang Adek Hussein.

    Beliau berkata antara dua kriteria utama yang diambil kira dalam pemberian tender ialah keupayaan menawarkan harga dan kemampuan teknikal para kontraktor.

    "Kementerian boleh meneliti bersama pihak JKR (Jabatan Kerja Raya) supaya kriteria teknikal ini tidak akan menghalang mana-mana kontraktor yang mempunyai kemampuan dan kebolehan dalam melaksanakan projek, semata-mata di atas keperluan pengalaman," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini Khamis.

    Beliau menjawab soalan Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) yang meminta kerajaan menyatakan langkah yang akan diperkenalkan untuk memastikan semua kontraktor mendapat pembelaaan secara adil dan saksama.

    Bung Moktar berkata kontraktor baru yang tidak berpengalaman tidak mendapat peluang untuk memperolehi tender kerana pada kebiasaannya antara kriteria yang ditetapkan dalam notis tender tersebut ialah mempunyai pengalaman.

    "Bagaimana pula bagi mereka yang baru mendapat lesen, sudah tentu dia tak ada pengalaman, kalau macam ini (notis mempunyai pengalaman) selama-lamanya dia tak akan dapat peluang.

    "Menteri pun apabila baru jadi menteri dia tak ada pengalaman, tapi apabila sudah jadi, dia boleh berfungsi. Jadi pendekatan seperti ini harus diubah suai," katanya.

    Terdahulu Bung Moktar meminta kerajaan menyatakan prestasi kontraktor bumiputera dan sejauh mana sistem tender terbuka berupaya membantu kerajaan melonjakkan pencapaian golongan ini dalam bidang ekonomi menjelang 2020.

    Dr Awang Adek berkata sehingga kini terdapat 44,580 kontraktor yang berdaftar dengan Pusat Khidmat Kontraktor (PKK) dalam pelbagai kelas di seluruh negara dan daripada jumlah tersebut, 40,305 iaitu 90 peratus adalah kontraktor bumiputera.

    "Jika dibuat perbandingan dengan jumlah pendaftaran bumiputera pada Jun 2008, terdapat peningkatan pendaftaran sebanyak 3 peratus bagi kontraktor bumiputera kelas A dan bagi kontraktor kelas B,C,D dan E, peningkatan kontraktor bumiputera adalah sebanyak 16 peratus," katanya.

    Beliau berkata kontraktor bumiputera secara am masih belum mencapai tahap yang memuaskan dalam aspek pengurusan syarikat, keupayaan melaksanakan projek, kekuatan kewangan dan masih belum dapat menggunakan teknologi serta sumber manusia yang ada secara penuh.

    "Oleh yang demikian kerajaan berpendirian bahawah kontraktor bumiputera masih perlu diberi latihan dan peluang untuk melaksanakan projek dan memperolehi kemahiran dan pengalaman.

    "Langkah ini perlu kerana kontraktor bumiputera yang tiada kepakaran atau pengalaman tidak akan dapat bersaing dengan petender-petender yang sudah mantap," katanya.

    -- BERNAMA

0 comments:

Leave a Reply

Featured Video

Photos